Saturday, July 19, 2008

WASIAT IMAM AL-SYAHID HASSAN AL-BANNA

10 WASIAT DARI IMAM AL-SYAHID HASSAN AL-BANNA R.H.

1. Apabila mendengar azan maka bangunlah sembahyang serta-merta walau bagaimana keadaan sekalipun.
2. Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku ilmu, pergilah ke majlis-majlis ilmu, dan amalkanlah zikrullah dan janganlah membuang masa dalam perkara yang tiada memberi faedah.
3. Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab kerana bahasa Arab yang betul itu adalah satu-satunya syiar Islam.
4. Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran yang kosong tiada memberi apa-apa jua kebaikan.
5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.
6. Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.
7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah suatu resmi yang sia-sia malah menyakiti hati orang.
8. Jauhilah daripada mengumpat-umpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan apa- apa yang memberi kebajikan.
9. Berkenal-kenalanlah dengan setiap Muslimin yang ditemui kerana asas gerakan dakwah kita ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.
10. Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya.



Monday, December 11, 2006
RIWAYAT HIDUP PARA MUJAHID GERAKAN ISLAM (SIRI 1)
ASY-SYAHID SYED QUTB R.H., Mesir (1906-1966)

Keluarga Qutb

Nama sebenarnya ialah Syed. Qutb ialah nama keluarganya yang berasal dari Semenanjung Arab. Seorang ahli keluarganya yang tua berhijrah ke Mesir dan menetap di sana. Ayah Syed Qutb, Hj. Ibrahim Qutb adalah salah seorang dari keturunan tersebut. Ibunya bernama Fatimah Hussain Uthman, seorang wanita yang kuat beribadat dan amat patuh kepada Islam, kuat cintanya terhadap al-Quran. Hj. Ibrahim Qutb juga kuat pegangan agamanya dan patuh beribadah. Beliau seorang petani. Hj Ibrahim dikurniakan lima orang adik beradik. Anak lelakinya ialah Syed Qutb (anak sulung) dan Muhammad Qutb. Tiga anak perempuannya, Hamidah Qutb dan Aminah Qutb. Nama anak perempuan yang ketiga tidak dapat dipastikan.

Adik Syed, Muhammad, adalah seorang cendekiawan Islam yang terkemuka. Beliau telah menghasilkan belasan tajuk buku yang menyentuh pelbagai persoalan mengenai Islam dan mendapat penghormatan serta dokongan daripada berbagai-bagai majalah dan mereka yang terlibat dengan gerakan Islam. Aminah Qutb pula merupakan seorang muslimah terkemuka yang terlibat secara aktif dalam usaha-usaha menyebarkan risalah Islam bersama-sama abangnya. Rencana-rencananya telah diterbitkan di pelbagai majalah berkala. Adik perempuannya, Hamidah juga tidak ketinggalan di belakang abang dan kakaknya.

Setiap ahli keluarganya bagaikan permata yang indah. Keteguhan dan ketabahan serta keperibadian yang unggul yang dipamerkan sepanjang tempoh dugaan dan tribulasi oleh keluarga Qutb mengingatkan kita kepada contoh keluarga Yasir r.a. Syed Qutb dihukum gantung, Muhammad Qutb disumbat ke penjara dan dikenakan pelbagai penyeksaan dan tindakan ganas. Hamidah Qutb juga disumbat ke dalam penjara selama tujuh tahun dengan kerja berat. Aminah Qutb juga menerima nasib yang sama. Anak perempuan ketiga daripada keluarga Qutb ini yang tidak dapat dikenali namanya juga mengorbankan seorang anak lelaki, Syed Rifaat, seorang lulusan kejuruteraan yang berusia dua puluh lima tahun untuk perjuangan. Beliau ditangkap, dipenjara dan disebat dengan kejamnya, dihukum dengan berbagai-bagai seksaaan dan dipaksa menjadi saksi dalam perbicaraan bapa saudaranya (Syed Qutb) sendiri. Beliau meninggal dunia pada tahun 1965 di dalam penjara.

Riwayat Hidup Syed Qutb

Syed Qutb memperoleh pendidikan awal dalam suasana dan persekitaran kampungnya. Beliau berjaya menghafaz seluruh al-Quran semenjak dari kecil lagi selaras dengan keinginan ibunya sendiri. Pada waktu itu, adalah suatu kebiasaan bagi ahli-ahli keluarga yang kuat beragama di Mesir menghafaz seluruh al-Quran terutamanya keluarga yang berhasrat menghantar anak mereka belajar di Universiti Al-Azhar.

Ibu bapanya amat menginginkan anak-anak mereka cerdik dan berpendidikan tinggi. Ditakdirkan oleh Allah, keluarga Syed Qutb berhijrah ke Halwan, sebuah bandar satelit bagi Kaherah. Hal ini memungkinkan Syed Qutb menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Beliau memasuki sebuah sekolah menengah di Kaherah, Tajhiziah Darul Ulum. Mereka yang diterima masuk belajar di sini hanyalah yang bercadang untuk terus melanjutkan pelajaran ke Darul Ulum (sekarang Universiti Qahirah) setelah tamat pelajarannya. Seperti juga al-Azhar yang merupakan pusat pendidikan Islam, Darul Ulum merupakan institusi pengajian tinggi dalam bidang sastera dan pendidikan. Dalam tahun 1929, Syed Qutb memasuki Universiti Qahirah setelah menamatkan pengajiannya di Tajhiziah Darul Ulum dan berjaya mendapat ijazah Sarjana Muda Sastera (Pendidikan) dalam tahun 1933. Syed Qutb kemudiannya dilantik menjadi Professor di kolej itu kerana menghargai keilmuannya.

Perkhidmatan Kerajaan Dan Lawatan Ke Amerika

Ketika di universiti, Syed Qutb berjaya menonjolkan kebolehannya. Beliau kemudian dilantik menjadi Nazir sekolah-sekolah di Kementerian Pelajaran. Di Mesir, jawatan ini merupakan jawatan yang berpengaruh dan dihormati. Pada masa Syed Qutb memegang jawatan ini, Kementerian Pelajaran menghantar beliau ke Amerika Syarikat untuk mengkaji sistem pendidikan dan latihan moden. Beliau kembali dari Amerika Syarikat setelah 2 tahun berada di sana. Semasa di Amerika, beliau melawat berbagai-bagai maktab. Syed Qutb pernah tinggal di Maktab Perguruan Wilson di Washington, Maktab Perguruan Grailey di Colorado dan Universiti Stamdord di California. Di samping itu, beliau berkesempatan melawat New York, Chicago, San Francisco, Los Angelesdan banyak bandaraya lain. Beliau juga singgah beberapa minggu di England, Itali dan Switzerland di dalam perjalanan pulang dari Amerika.

Pengalamannya di Amerika terbukti amat berharga dan suatu rahmat baginya. Syed Qutb berpeluang menyaksikan kecelaruan yang dihasilkan oleh kehidupan materialistik yang bermaharajalela di negara itu. Lantas beliau lebih berkeyakinan dengan semangat yang lebih kukuh bahawa kesejahteraan umat Islam sejagat hanya boleh dicapai melalui Islam.

Menyertai Ikhwanul Muslimin

Tidak lama selepas kembali dari Amerika, Syed Qutb mula berjinak-jinak dengan Ikhwanul Muslimin. Beliau mula mempelajari dakwahnya dan akhirnya menyertai Ikhwanul Muslimin dalam tahun 1945. Pada waktu itu Perang Dunia Kedua baru sahaja selesai dan gerakan Ikhwanul Muslimin mula mengorak langkah dalam bidang politik dengan mendapat dokongan massa. Ikhwanul Muslimin telah mendesak berkali-kali supaya Mesir diberikan kemerdekaan dalam waktu perang tersebut. Walaupun tindakan ini menyebabkan populariti, keahlian dan sokongan ke atas Ikhwanul Muslimin bertambah namun ia juga membuka pintu ke arah tribulasi dan penindasan oleh Imperialisme Inggeris dan pemerintahan boneka Mesir pada waktu itu. Pada 12 Februari 1949, Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin yang juga pengasas jemaah Islam tersebut telah ditembak, syahid dan gerakan itu diharamkan. Zaman tribulasi bermula sehinggalah berlakunya revolusi tentera di Mesir. Pada bulan Julai 1952, rampasan kuasa oleh tentera berlaku dan menghentikan tempoh tribulasi yang dihadapi oleh Ikhwanul Muslimin. Tetapi ia kemudian diikuti oleh penindasan yang lebih kejam dan zalim. Di antara tokoh yang terkenal selepas zaman tekanan ini ialah Hassan al-Hudaibi, yang kemudiannya dilantik menjadi Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin yang kedua dengan Asy-Syahid Abdul Qadir 'Audah sebagai Setiausaha. Selain itu, tokoh lain ialah Syed Qutb sendiri yang berjasa besar kepada harakah (gerakan) itu dalam bidang intelektual.

Gerakan Ikhwanul Muslimin dipulihkan kembali dan dibenarkan bergerak secara halal di pertengahan tahun 1952. Zaman penindasan oleh Raja Farouk berakhir. Pemimpin dan para petugas Ikhwanul Muslimin dibebaskan dari penjara dan gerakan itu sekali lagi berkembang dengan kekuatan baru di bawah pimpinan Hassan al-Hudaibi. Syed Qutb dilantik sebagai salah seorang anggota Majlis Tertinggi Ikhwanul Muslimin dan dipertanggungjawabkan ke atas Lujnah Dakwah di Ibu Pejabat Tertinggi Ikhwanul Muslimin.

Syed Qutb merupakan salah seorang pimpinan yang memberikan seluruh hidupnya untuk kemajuan penyebaran dakwah dan perjuangan Islam. Beliau bertugas dengan Ikhwanul Muslimin dalam pelbagai jawatan. Dalam tahun 1953, Syed Qutb telah dihantar ke Damsyik untuk menghadiri dan menyampaikan beberapa ceramah termasuk ceramah "Pendidikan Moral sebagai Jalan untuk Mencapai Jaminan Sosial" dalam Persidangan Kebajikan Sosial yang dianjurkan oleh Unit Kebajikan Sosial Mesir. Selepas menghadiri persidangan ini Syed Qutb menuju ke Jordan tetapi tidak dibenarkan masuk oleh pihak berkuasa Jordan di bawah arahan Glub Pasha yang berkuasa di Jordan pada waktu itu. Disember 1953, Syed Qutb dihantar untuk menghadiri satu persidangan di Jerusalem sebagai wakil Majlis Tertinggi Ikhwanul Muslimin. Oleh kerana Syed Qutb pada masa ini memasuki Jordan bersama delegasi dunia Islam yang lain, pihak berkuasa Jordan tidak menyekat kemasukannya. Jika tidak, pasti tidak mudah untuknya diizinkan masuk kerana tulisan-tulisannya yang lantang mengkritik penyelewengan Glub Pasha.

Kezaliman Kerajaan Sekular

Pada tahun 1954, Syed Qutb dilantik sebagai Ketua Pengarang Majalah al-Ikhwan al-Muslimin. Namun, beliau hanya sempat menjadi pengarang majalah ini selama dua bulan sahaja kerana kerajaan sekular pimpinan Jamal Abdul Nasser mengharamkan penerbitannya pada 10 September 1954 disebabkan penentangannya terhadap Perjanjian Inggeris-Mesir yang ditandatangani oleh Jamal Abdul Nasser dan Inggeris pada 7 Julai 1954. Ia menentang perjanjian itu sebagai sebahagian daripada polisi Ikhwanul Muslimin. Anggota-anggota Ikhwanul Muslimin sekali lagi dihadapkan dengan penindasan dan penyeksaan yang lebih kejam atas tuduhan gerakan itu berkonspirasi untuk merampas kuasa. Kerajaan Mesir mengisytiharkan pengharaman Ikhwanul Muslimin dan semua pemimpinnya ditangkap. Mereka dikenakan hukuman mati. Ribuan anggota dan petugas-petugas Ikhwan disumbat ke dalam penjara! Kehormatan, nyawa dan harta mereka yang mempunyai kaitan dengan gerakan itu dicerobohi.

Di antara pimpinan yang ditahan ialah Syed Qutb. Beliau ditahan di beberapa penjara di Mesir. Adakalanya di Penjara Fort, pada ketika yang lain ditahan di Penjara Tentera (Sijn Harbi) dan juga Penjara Abu Za'abal yang ngeri. Penahanan dan penangkapan Syed Qutb serta kezaliman yang dikenakan ke atasnya amat menyedihkan dan menggerunkan. Hal ini diceritakan dalam sebuah akhbar mingguan Syria, al-Syibab:

Ketika pegawai-pegawai tentera masuk ke rumah Syed Qutb untuk menangkapnya, beliau sedang menderita demam panas. Beliau digari dan diheret ke penjara dalam keadaan berkaki ayam. Oleh sebab penderitaan yang terlalu hebat, beliau seringkali pengsan dan rebah ke lantai. Apabila sedar kembali beliau segera mengucapkan kalimah "ALLAHUAKBAR" dan "ALHAMDULILLAH", kalimah yang sentiasa diucapkan oleh ahli-ahli Ikhwan.

Ketika Syed Qutb dihantar ke penjara tentera, di hadapan pintu masuk penjara beliau bertembung dengan Hamzah Bisuni, Penguasa Penjara dan anggota polis perisik. Sebaik sahaja masuk ke penjara itu, Syed Qutb dipukul dan ditumbuk bertubi-tubi dan berlanjutan selama dua jam! Seekor anjing Alsatian yang dilatih juga dilepaskan de dalam sel Syed Qutb. Binatang buas ini membaham pehanya. Dalam keadaan yang lemah itu, beliau ditari ke sana sini oleh binatang buas tersebut. Selepas dipindahkan ke sel baru, beliau disoalsiasat selama 7 jam tanpa rehat. Walaupun kekuatan fizikal Syed Qutb telah hancur luluh, namun kekuatan jiwa yang kental dan keteguhan roh serta ketabahannya menukarkan Syed Qutb menjadi seorang yang berjiwa batu. Walaupun diseksa dengan begitu dahsyat, beliau tetap tidak berganjak daripada pendirian dan berserah semata-mata kepada Allah sambil tidak putus-putus melafazkan kalimah "ALLAHUAKBAR" dan "ALHAMDULILLAH". Pada malam hari, Syed Qutb akan dibiarkan dalam kegelapan dan kesejukan. Pada waktu pagi, beliau dikeluarkan untuk berbaris tanpa sebarang ruang untuk waktu rehat. Syed Qutb menderita teruk disebabkan penyeksaan yang tiada perikemanusiaan ini. 3 Mei 1955, Syed Qutb dimasukkan ke hospital tentera, setelah mengalami kesakitan dada, kelemahan tenaga, sengal-sengal sendi dan pelbagai penyakit.

Seorang muridnya, Yusuf Al-Azam menulis: "Syed Qutb dikenakan penyeksaan yang menggunung; dimaki, anjing-anjing belaan polis menggigit dan menariknya di sekeliling bilik sel, air panas dan kadangkala ais dicurahkan ke atas kepalanya, ditendang, ditampar, ditumbuk, diluahkan perkataan-perkataan yang menghina dan menyakitkan hati. Tetapi kesemua ini menambahkan lagi keimanannya dan meyakinkan kebenaran perjuangan yang didokonginya lagi".

19 Julai 1955, Mahkamah Rakyat Mesir menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara dengan kerja berat ke atas Syed Qutb sedangkan beliau tidak hadir ke mahkamah kerana terlantar lemah di dalam penjara. Setelah setahun dipenjarakan, seorang wakil Jamal Abdul Nasser dihantar menemui Syed Qutb di penjara dengan mengemukakan tawaran, "Sekiranya kamu menulis beberapa ayat memohon maaf (pengampunan) yang akan disiarkan di dalam akhbar-akhbar, kamu akan dibebaskan dari penjara ini dan terselamat daripada berbagai-bagai kesulitan yang kamu hadapi sekarang. Kamu akan hidup bebas dan selesa di rumah sendiri". Insan bertaqwa ini menjawab dengan kata-kata yang menjadi catatan sejarah: "Aku merasa hairan dengan mereka yang mahukan manusia ditindas dan dizalimi berlutut memohon keampunan kepada penzalim dan penindas itu. Demi Allah, kalaupun perkataan-perkataan itu akan menyelamatkan aku daripada tali gantung sekalipun, aku tidak akan sekali-kali mengucapkannya. Aku lebih rela kembali menemui Allah dalam keadaan yang Dia meredhai aku dan aku meredhai-Nya".

Apabila tawaran ini diulang kepadanya dan beliau diminta memohon pengampunan, Syed Qutb tetap berkata: "Seandainya pemenjaraanku ini adil dan dilakukan secara hak, aku bergembira dengannya dan ini adalah takdir Allah tetapi seandainya aku dipenjarakan secara batil aku tidak sekali-kali akan melutut memohon keampunan atau keringanan".

Catatan perbicaraan Syed Qutb oleh Mahkamah Rakyat ini telah dikeluarkan oleh kerajaan dalam bentuk buku dan mencatatkan juga tentang laporan bahawa Syed Qutb pernah ditawarkan menjadi Menteri Pelajaran oleh Kerajaan. Syed Qutb menolak tawaran ini dengan hujah bahawa menerima tidak membawa apa-apa erti hinggalah keseluruhan sistem pendidikan di Mesir diubah dan ditukarkan dengan sistem pendidikan Islam.

Tiga tahun pertamanya di penjara penuh dengan penyeksaan dan penderitaan, kemudiannya berkurangan. Saurara-mara dan keluarganya kemudiannya dibenarkan melawat. Beliau juga disediakan kemudahan untuk meneruskan minatnya dalam bidang penulisan di dalam penjara. Kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk menumpukan perhatian dalam usaha menyiapkan sebuah tafsir al-Quran, Fi Zilal al-Quran (Di Bawah Naungan Al-Quran). Pada pertengahan 1964, sesudah 10 tahun berlalu dari tempoh hukuman penjara 15 tahun itu, Presiden Iraq, Abd as-Salam Arif melawat Kaherah dan meminta Presiden Nasser membebaskan Syed Qutb. Oleh kerana mengharapkan hubungan baik dengan kerajaan Iraq, maka Syed Qutb dibebaskan. Tetapi Syed Qutb masih diletakkan di bawah pengawasan polis dan tidak dibenarkan bergerak secara bebas.

Tidak sampai setahun dari tempoh pembebasan bersyarat itu, Syed Qutb ditangkap lagi untuk kali yang kedua dan dituduh cuba menggulingkan kerajaan dengan cara kekerasan. Kali ini bukan Syed Qutb sahaja yang ditangkap, tetapi adik-adinya; Muhammad Qutb, Hamidah Qutb, Aminah Qutb di samping ramai lagi penyokong Ikhwan.

Laporan Daily Telegraph menyatakan sejumlah 20 000 orang telah ditangkap termasuk 700 orang wanita. Penangkapan bermula apabila Presiden Jamal Abdul Nasser melawat Russia, dan melaporkan Ikhwanul Muslimin telah berkonspirasi untuk membunuhnya yang telah dapat digagalkan. Presiden Nasser ketika itu mempunyai kuasa untuk menangkap sesiapa sahaja yang pada pandangannya menjejaskan keselamatan negara tanpa perlu dihadapkan ke mahkamah. Harta mereka boleh dirampas dan tiada sebarang rayuan, tindakan yang dapat dilakukan untuk mencabar perintah Presiden itu. Penyeksaan dan tekanan ditingkatkan di dalam penjara.

Pada peringkat awal, diumukan perbicaraan Syed Qutb di Mahkamah Tentera akan disiarkan secara langsung melalui televisyen. Tetapi apabila Syed Qutb tidak mengaku bersalah dan menceritakan perihal kezaliman dan penyeksaan di dalam penjara, siaran langsung terus dihentikan dan perbicaraan diteruskan dalam keadaan tertutup tanpa ada peguambela untuk membela tertuduh. Peguam-peguam dari luar negara, seperti bekas Presiden Majlis Peguam Perancis, Mr. William Thorp, seorang peguam terkenal dari Hague, Mr. A.J.M. Vandal, termasuk juga peguam-peguam dari Morocco menyatakan kesanggupan mereka untuk membela Syed Qutb dan tertuduh yang lain tetapi tidak dibenarkan berbuat demikian. Dua orang peguam dari Sudan dampai ke Kaherah di atas inisiatif sendiri dan bertanyakan mahkamah untuk membela Syed Qutb setelah didaftarkan dengan Majlis Peguam Mesir, tetapi telah diusir keluar dari mahkamah oleh pihak polis yang mengarahkannya segera keluar dari Mesir.

Perbicaraan bermula. Pihak tertuduh menyatakan kezaliman dan penyeksaan yang dikenakan ke atas mereka. Syed Qutb yang merupakan orang utama dalam perbicaraan ini menafikan tuduhan yang dikemukakan terhadapnya. Pengerusi Tribunal Tentera itu segera menutup mulut pihak tertuduh dan enggan mendengar sebarang keterangan dari pihak tertuduh. Peristiwa-peristiwa yang menyayat hati ini disokong oleh laporan Amnesty International yang dibentangkan oleh seorang ahli Parlimen Inggeris selepas beliau melawat Mesir. Keadaan ini menimbulkan keraguan terhadap keadilan sistem kehakiman di Mesir. Amnesty International mendesak kerajaan Mesir menghormati hak asasi manusia dan memberikan peluang kepada tertuduh untuk dibicarakan di mahkamah terbuka yang adil lagi dinilaikan oleh dunia antarabangsa.

Menemui syahid

Pada bulan Ogos 1966, Syed Qutb bersama dua orang rakan seperjuangannya Muhammad Yusuf Hawwash dan Abdul Fatah Ismail telah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tentera yang dihakimi oleh Jeneral Fuad al-Dagawi yang terkenal dengan kejahatannya. Seluruh dunia memberikan reaksi terhadap hukuman ini. Pemimpin-pemimpin dan pertubuhan-pertubuhan agama serta reformasi, tokoh-tokoh politik, akhbar-akhbar dan majalah-majalah merayu agar hukuman ini diringankan. Namun, seluruh permintaan itu tidak dihiraukan dan akhirnya pada 29 Ogos 1966, Syed Qutb dan dua orang sahabat seperjuangannya dalam Ikhwanul Muslimin menemui syahid di tali gantung. Kembali menemui Allah dalam keadaan Allah meredhainya. Berakhirlah riwayat seorang tokoh terbilang yang dianggap duri oleh mereka yang berfikiran sekular dan anti-agama di Mesir dan dunia Arab ini.

Hasil Karya Syed Qutb

1. Tafsir Fi Zilal al-Quran (Di Bawah Naungan al-Quran)
2. Al-'Adalat al-Ijtima'iyyah fil Islam (Keadilan Sosial Dalam Islam)
3. Masyahid al-Qiyamah fil Quran (Beberapa Senario pada Hari Kiamat Dalam al-Quran)
4. At-Taswir al-Fanni fil Quran (Seni Dalam al-Quran)
5. Ma'rakah al-Islam wa al-Rasmaliyah (Pertarungan di antara Islam dan Kapitalisme).
6. As-Salamul 'Alami wal Islam (Dunia Keamanan dan Islam)
7. Dirasat al-Islamiyyah (Beberapa Pelajaran Tentang Islam)
8. Kritikan Sastera: Prinsip dan Kaedah
9. Suatu Analisa Kritikal Terhadap Masa Depan Kebudayaan
10. Kitab-kitab dan Sahsiah
11. Ciri-ciri Masyarakat Islam
12. Amerika Allati Ra'aitu (Amerika Seperti Saya Lihat)
13. Duri-duri
14. Anak Desa
15. Al-Madinah Al-Masyhurah (Madinah Kota Kerahmatan)
16. Sebuah Koleksi Penulisan Empat Bersaudara
17. Al-Qasas Ad-Diniyyah (Cerita-cerita Agama)
18. 3 Buah Buku Koleksi Sajak-sajak
19. Tugas Sebenar Seorang Penyair Dalam Kehidupan
20. Ma'alim fi at-Tariq (Petunjuk Sepanjang Jalan) – Buku terakhir karangannya
21. Haza ad-Din (Inilah Islam)
22. Al-Mustaqbal lihaza ad-Din (Masa Depan di Tangan Islam)
23. Khasa'is al-Taswir al-Islami wa Muqawwimatihi

No comments: