Wednesday, July 23, 2008

JIKA MANUSIA TANPA TAQWA

Kalau Kita Tidak Bertaqwa

Kebanyakan orang menganggap bahkan yakin bahawa dunia dan manusia ini tidak akan selamat kalau duit tidak cukup, atau ilmu tidak tinggi, atau tidak ada kuasa atau pembangunan dan kemodenan tidak tercapai. Tegasnya kalau tidak tiru apa yang Barat buat, tidak jadi macam Barat, tidak akan selamat. Maka berlumba-lumbalah kita mengejarnya. Seluruh jentera kemodenan dan pembangunan dikerahkan ke arah tujuan tadi.

Hingga hari ini, sedikit sebanyak kita sudah membangun seperti yang kita kehendaki. Negara kita sudah agak maju dan cantik, berkat meniru pembangunan Barat. Ekonomi pun seakan-akan sudah pulih, walaupun belum ada seorang umat Islam yang dapat membangunkan supermarket di seluruh shopping centre di negara kita. Walaupun masih banyak gerai-gerai Melayu di tepi-tepi jalan tetapi menempah sejarah pendek umur.

Dari segi ilmu pun boleh dibanggakan memandangkan Universiti yang kian bertambah dan mereka yang berdegree bertambah ramai. Namun ilmuan-ilmuan tadi tetap tidak boleh hidup kalau tidak diberi gaji. Yang tidak diberi kerja jadi bebanan pula pada negara. Mereka tetap tidak boleh berdikari untuk membina pembangunan dan perindutrian sendiri yang bebas dari makan gaji. Di samping itu akhlak lulusan tinggi tetap tidak jauh beza dengan akhlak yang ada pada lulusan rendah, bahkan ada yang lebih teruk lagi.

Soalnya, hingga di tahap ini, adakah kita sudah mendapat masyarakat bahagia yang hidup penuh aman damai?

Memandangkan pada penyakit masyarakat yang bertimpa-timpa dan kian kronik, masalah tidak habis-habis, tentu kita belum boleh mengatakan masyarakat kita sudah bahagia. Memang mungkin ada individu-individu atau keluarga-keluarga yang merasainya, tetapi ini bukan majoriti. Ini tidak boleh mencorak masyarakat.

Secara umum penguasa-penguasa tidak bahagia oleh penyakit gila kuasa. Orang kaya tidak bahagia kerana penyakit gila dunia. Orang miskin tidak bahagia kerana sering rindu pada harta. Ulama-ulama tidak bahagia kerana takut periuk nasi terancam. Ibu bapa hilang bahagia kerana anak-anak derhaka. Isteri-isteri hilang bahagia kerana suami tidak bertanggungjawab. Guru tidak bahagia dengan perangai anak muridnya. Pemudi-pemudi tidak bahagia kerana diganggu dan tukut jadi andartu. Pemuda hilang bahagia kerana susah hendak kahwin. Dan macam-macam lagi penyakit yang sedang meragut kebahagiaan hidup dalam masyarakat kita.

Dalam keadaan ini, apakah kemajuan pembangunan, kemodenan, ekonomi dan keilmuan tinggi tadi mampu berperanan menyelesaikan masalah ini? Kita lihat bahawa kemodenan hidup di Barat menghantar manusia ke kancah kehidupan yang bergelora. Contohnya, ramai sudah orang Barat yang hidup dengan anjing atau bertemankan kucing kerana kebahagiaan dengan sesama manusia sudah tiada. Maka apa ertinya dengan segala pembangunan dan kemajuan tadi?

Kebahagiaan sebenarnya bukan terletak pada kebendaan lahiriah. Rasa bahagia itu tempatnya di hati. Kalau hati senang, dalam miskin pun rasa bahagia. Sebaliknya kalau hati rosak binasa maka ilmu tinggi manapun, kaya raya macam manapun atau sebesar manapun pangkat, tetap tidak bahagia hidupnya yang memang jadi pengalaman semua orang.

Kerana itu, untuk mencapai kebahagiaan hidup, apa yang mesti diutamakan ialah mendidik hati dengan iman dan taqwa. Bukan dengan duit, pangkat, ilmu tinggi, kemewahan dan kemodenan.

Iman dan taqwa boleh membuatkan orang miskin terhibur dengan kemiskinan. Iman dan taqwa boleh membuatkan orang kaya pemurah dengan hartanya, terhibur untuk taat ibu bapa, isteri suka dan terhibur untuk taat pada suami, pengikut terhibur mentaati pemimpinnya, anak murid terhibur untuk hormat dan kasih pada guru, si gadis jadi malu serta terhibur tinggal di rumah dan pemuda jadi sungguh bertanggungjawab pada masyarakat dan negaranya.

Bila manusia sudah berada pada tahap ini, barulah duit dan harta banyak akan membawa bahagia. Barulah pangkat tinggi berguna dan segala kemodenan dan pembangunan akan jadi sumber keselesaan hidup yang bermakna.

Hari ini ianya belum berlaku. Kerana hanya memikirkan negara maju, maka yang terus maju ialah negara bukan orangnya. Yang membangun ialah negara, namun masyarakatnya tidak dibangunkan jiwanya. Masyarakat manusianya dibiarkan bermain dengan nafsu, tidak dihiasi dengan iman dan taqwa.Maka nafsulah yang menjadi raja dan jadi Tuhan. Nafsulah yang mengatur kehidupan. Sebab itu masyarakat jadi huru-hara.

Saya suka menyenaraikan nafsu jahat yang bersarang dan menjadi ‘Tuhan’ dalam diri manusia itu.

Kalau orang kaya tidak bertaqwa maka jadilah hatinya penuh dengan sombong, ego, suka membazir, riak, suka menunjuk-nunjuk, menyalahgunakan harta seperti untuk mengumpan perempuan cantik, rasuah, suka berlumba-lumba dengan sesama kaya, dan dalam pada itu masing-masing kata mengata.

Meraka berbangga dengan rumah besar, dengan perabut kemas lagi mewah. Mereka bercuti ke sana ke mari. Beli barang bukan di Malaysia tetapi impot dari London. Duit orang kaya lebih banyak daripada duit negara. Walhal mereka tahu bahawa masyarakat umum miskin. Tabung perjuangan Islam, tabung anak-anak yatim, tabung rumah kebajikan dan lain-lain lagi sentiasa kosong malah berhutang-hutang, negara tidak cukup duit untuk membiayai rakyat, tetapi orang kayanya sangat membazir. Dalam keadaan ini sampai bila pun manusia tetap akan berada dalam keadaan tidak puas hati.

Sepatutnya, orang-orang kaya sanggup menjadi bank kepada masyarakat, bank akhirat, yang memberi pinjaman tanpa riba dan tidak minta dibayar di dunia. Sebab mereka faham kekayaan adalah pinjaman Allah, maka mereka membelanjakannya menurut yang diredhai Allah dan mengharap ganjaran dari Allah di akhirat.

Orang miskin kalau tidak bertaqwa maka tidaklah selamat hatinya dari sifat-sifat yang buruk seperti tidak sabar dengan kemiskinan dan mereka sangat hasad dengki dan sakit hati dengan orang berada. Keinginan untuk kaya sangatlah tebal hingga bila tidak kaya-kaya juga, mereka jadi putus asa dengan Allah. Ini menyebabkan mereka berbuat apa saja untuk jadi kaya. Merompak, menyamun, menipu, seluk saku dan lain-lain bentuk kecurian telah berleluasa dalam masyarakat, sehinggalah bagi setengah mereka telah menjadi pekerjaan tetap dan telah mendatangkan pendapatan yang lumayan. Hingga kerana itu, masyarakat sentiasa dalam ketakutan.

Tidak sepatutnya perkara-perkara ini berlaku dalam masyarakat umat Islam. Kerana orang Mukmin yang bertaqwa, kalau dia miskin, dia redha dengan takdir Allah. Dia rasa memadai dengan kemiskinannya dan tidak berhasad dengki dengan orang yang kaya. Dia tidak terseksa dengan kemiskinan di dunia demi mengharapkan kekayaan yang Allah janjikan di akhirat.

Para-para suami tidak bertanggungjawab kepada ahli keluarga, membiarkan isteri dan anak-anak tanpa didikan agama yang sempurna. Sibuk mencari harta dunia sehingga lalai dalam tanggungjawab. Seorang suami juga sebagai seorang ayah yang tidak bertaqwa tidak akan dapat menunaikan tanggungjawabnya dengan baik dan sempurna lahir dan batin. Mereka membiarkan isteri dan anak-anak bebas keluar masuk rumah dengan tidak menjaga kehormatan.

Kaum ibu atau wanita kalau tidak bertaqwa maka kerja mereka ialah mengumpat, bersolek untuk tujuan menunjuk-nunjuk, gila dunia yakni gilakan perabut, hiasan, gelang, pakaian berfesyen-fesyen hingga lupa pada Allah, dan lupa pada akhirat. Seorang isteri yang tidak bertaqwa tidak akan dapat melayan dan mentaati suami dengan baik disebabkan tidak ada pada mereka sifat merendah diri dan memandang mulia pada suami. Mereka bebas untuk keluar masuk rumah dan menyusun program sendiri tanpa memikirkan apa kata suami.

Bila isteri berada dalam keadaan begini maka rumahtangga bukan lagi gelanggang cinta dan kasih sayang, untuk suami merasa berada dalam mahligai yang penuh kebahagiaan dengan anak-anak yang terdidik dengan akhlak mulia dan ilmu yang berguna. Rumahtangga tidak menjanjikan kebahagiaan.

Lalu jadilah apa yang telah dan sedang terjadi. Oleh kerana semua manusia inginkan kasih sayang dan kebahagiaan, dan di rumah tidak dapat menyediakan itu semua, maka tentu mereka cari di luar. Disko, kelab malam dan tempat manusia mancari kasih dan kebahagiaan secara keji itu sering penuh, bahkan merupakan satu perniagaan yang sangat menguntungkan. Ada yang menagih kasih dan bahagia dari dadah, dari arak dan dari segala hiburan-hiburan yang kotor-kotor. Mereka menyangka di situlah kebahagiaan hidup, walaupun mereka sedar bahawa melakukan semua itu bererti kehinaan dan kebinasaan hidup. Sabda Rasulullah saw bermaksud:

“Dunia ini ialah perhiasan. Dan perhiasan yang paling cantik ialah wanita solehah.”

Semua orang tertarik pada perhiasan. Apa lagi kalau alat perhiasan itu adalah sesuatu yang sangat cantik. Jadi, kalau dalam sebuah rumah itu ada wanita solehah, maka ahli-ahli rumah itu akan tertarik untuk sentiasa berada di rumah kerana ada penyejuk serta penenang hati dan mata mereka. Rumah adalah hiburan dan ketenangan hati mereka.

Kalau pemuda atau pemudi tidak bertaqwa, maka jadilah mereka manusia yang suka berpoya-poya, bercinta-cintaan dan berlagak ke hulu ke hilir dan rasa ingin menunjuk-nunjuk diri. Bahkan menjadi kutu jalan. Mereka mengorat perempuan-perempuan tanpa malu bahkan sudah jadi permainan yang lumrah. Rasa hasad dengki, iri hati dan cemburu sesama sendiri bersarang penuh dalam hati mereka. Mereka sering berangan-angan, khayal dan lalai dari tugas-tugas yang sepatutnya. Dan semua ini dapat kita saksikan dalam lakonan hidup mereka. Kes-kes zina di kalangan muda mudi yang turut melibatkan pelajar-pelajar sekolah sudah jadi perkara biasa dan seakan-akan mahu dibiarkan berterusan oleh kita.

Terlalu sedikit muda mudi yang memperjuangkan agama Islam, bangsa, negara dan tamadun umat supaya kita jadi gagah dan mulia di mata dunia. Yang banyaknya mereka itu sedang membina budaya lucah, gila harta, gila wanita, gila pangkat dan saling berebutan membuat jentera penggerak pembangunan tamadun dan nilai kita jadi lemah dan lembab sekali.

Mereka tidak kerja kalau bukan makan gaji. Masa kosong dibuang ke padang bola, bukan memikirkan projek pertanian, perindustrian dan lain-lain yang sungguh penting untuk membina kekuatan umat. Berapa kerat muda mudi yang dapat menunaikan sepenuhnya tuntutan sembahyang lima kali sehari itu? Maka sebanyak itu sajalah dari mereka yang boleh diletakkan harapan, selebihnya adalah pengganggu, pengacau dan penghalang perjuangan kebenaran.

Muda mudi yang bertaqwa ialah orang-orang yang serius terhadap tanggungjawab pada agama bangsa dan negara. Mereka menyediakan tenaga, masa, fikiran dan semangat untuk tugas ‘Khalifah Allah’ di dunia. Mereka sanggup tinggalkan budaya berseronok-seronok, berpoya-poya dan berlagak serta bergaya tidak menentu.

Begitulah jauh bezanya antara umat yang bertaqwa dan tidak bertaqwa. kalaulah kita dapat capai maqam ini, insyaAllah akan jadilah kita bangsa dan agama yang aman makmur, seperti yang kita laungkan dan idam-idamkan. Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah:

“Negara yang makmur dan mendapat keampunan Allah.”