AQIDAH DAN PERJUANGAN ::
Definisi Aqidah
Dari segi bahasa aqidah berasal daripada perkataan ‘aqada yang bermaksud ikatan atau simpulan yang kukuh.
Menurut istilah syara’: Aqidah ialah kepercayaan yang tersimpul kukuh dan teguh dalam jiwa sehingga tidak mungkin akan terurai oleh apa jua suasana dan keadaan.
Aqidah Islamiyyah ialah satu ikatan yang menghubungkan antara makhluk (yang dicipta) dengan Allah sebagai Khaliq (pencipta). Ia dibina di atas Rukun Iman.
“…Dan barangsiapa yang engkar kepada taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah memegang tali yang amat kuat dan tidak akan putus…”
(Surah Al-Baqarah : 256)
“Orang-orang Mukmin hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu...”
(Surah Al-Hujurat : 15)
“Kitab itu (Al-Quran) tidak ada keraguan padanya, menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa.”
(Surah Al-Baqarah : 2)
Perjuangan Kita
Sesungguhnya aqidah ini wajib diperjuangkan. PERJUANGANNYA IALAH MENEGAKKAN KALIMAH ALLAH DAN MERUNTUHKAN SEGALA KEKUFURAN. Tidak sempurna iman bagi sesiapa yang hanya menumpukan amal untuk dirinya sendiri tanpa ada hubung kait dengan masyarakat. Aqidah ini bukan untuk dipegang oleh orang-orang tertentu sahaja. Ia juga bukan hanya perlu diperjuangkan oleh orang-orang tertentu sahaja. Bukan hanya diperjuangkan oleh para Nabi dan Rasul atau para ulama’, bahkan seluruh umat Islam. Sebagaimana Allahu Subhanahu Wa Ta’ala menyebut di dalam al-Quran dalam banyak ayat tentang aqidah dan perjuangan. Disebut tentang kewajipan berada dalam perjuangan ini seiring dengan perintah beriman kepada-Nya. Dua perkara yang tidak dapat dipisahkan.
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan pada tiap-tiap umat akan Rasul (untuk menyerukan) sembahlah Allah sahaja dan jauhilah taghut.”
(Surah An-Nahl : 36)
“Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia, kamu menyuruh melakukan yang ma’ruf dan kamu melarang dari mengerjakan yang mungkar serta beriman kepada Allah.”
(Surah Ali Imran : 110)
“Perangilah mereka (orang-orang kafir) sehingga tidak ada lagi fitnah dan agama semuanya hanyalah untuk Allah.”
(Surah Al-Anfal :39)
“Orang-orang Mukmin hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta benda dan dirinya di jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.”
(Surah Al-Hujurat : 15)
“Wahai orang-orang yang beriman, mahukah Aku tunjukkan kepadamu suatu perniagaan yang akan melepaskan kamu dari azab yang pedih. (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjuang pada jalan Allah dengan harta dan dirimu. Itulah yang lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”
(Surah As-Shaf : 10-11)
Perjuangan ini adalah jihad. Aqidah dan jihad ibarat sebatang pokok yang mana aqidah sebagai akarnya dan pucuknya adalah jihad.
Kecacatan Aqidah Tanpa Perjuangan
Jika kita lihat masyarakat Islam pada hari ini dapat kita lihat betapa sedikitnya golongan yang memperjuangkan Islam. Agama dianggap hak individu. Padahal Islam bukan agama individu, tetapi agama jamaah. Pandangan sesetengah anggota masyarakat kita, “biarlah dia (orang yang melakukan kemungkaran). Kita jaga diri kita cukuplah”. Mereka kedekut untuk menyampaikan ajaran Islam kepada orang ramai. Ini sebenarnya aqidah yang tidak jelas. Para penjajah pada era penjajahan dahulu, amat suka golongan macam ini. Walaupun ‘abid (orang yang kuat beribadat), tetapi tidak ambil kisah soal orang lain, soal negara dan sebagainya. Asalkan tidak mengganggu ibadat khususnya. Lebih malang apabila ada golongan yang hendak memperjuangkan undang-undang Islam, politik Islam, maka akan dianggap salah. Sedangkan kita sedia maklum tentang kewajipan amar ma’ruf dan nahi mungkar dan kewajipan beramal dengan seluruh ajaran Islam. Tidak ada seorang Rasul pun yang bersenang-lenang tanpa perjuangan menegakkan Islam. dan jika tidak kerana perjuangan orang-orang terdahulu menyebarkan Islam, mungkin Islam tidak akan sampai ke nusantara ini.
Setiap individu Muslim wajib berjuang menegakkan Islam. lebih-lebih lagi pada saat ini di mana tiadanya satu khilafah ataupun daulah yang melaksanakan seluruh ajaran Islam dan menggunakannya dengan adil. Malah, ummat Islam sebahagiannya dijajah oleh Barat dan Yahudi.
Golongan yang tidak berjuang untuk Islam mereka juga tidak selamat. Allahu Subhanahu Wa Ta’ala mengingatkan kita akibat meninggalkan perjuangan menegakkan agama Allah dalam Al-Quran dalam beberapa kisah. Di sini saya memetik peristiwa pada hari Sabtu kaum Nabi Musa a.s.
“Tanyakanlah kepada mereka tentang negeri yang terletak berhampiran laut. Ketika mereka melanggar perintah Allah pada hari Sabtu, ketika ikan-ikan mereka datang terapung-apung (di muka air) pada hari Sabtu, sedangkan pada hari (yang lain) bukan hari Sabtu tiada datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka disebabkan mereka orang-orang fasiq. Ketika segolongan di antara mereka itu berkata: Mengapa kamu menasihati kaum, sedang Allah akan membinasakan mereka itu atau menyiksanya dengan seksaan yang keras? Mereka menjawab: (kami nasihati mereka itu) untuk meminta uzur (setelah menunaikan tanggungjawab dakwah) kepada Tuhan-Mu dan mudah-mudahan mereka itu bertakwa. Tatkala mereka melupakan apa-apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang kejahatan dan Kami seksa orang-orang yang aniaya dengan ‘azab yang keras, disebabkan mereka fasiq. Setelah mereka sombong (melanggar) apa yang terlarang, Kami berfirman kepada mereka: Jadi keralah kamu serta terusir.”
(Surah Al-A’raaf : 163-166)
Dalam ayat lain, Allahu Subhanahu Wa Ta’ala menyebut:
“Terlaknatlah orang-orang kafir dari golongan Bani Israel melalui lisan Nabi Allah Daud dan Isa bin Maryam, itu adalah disebabkan oleh derhaka mereka (terhadap Allah Ta’ala) dan mereka melampau, mereka tidak mencegah kemungkaran di kalangan mereka - itulah seburuk-buruk amalan mereka.”
Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, maksudnya:
“Tidak ada dari Nabi yang diutus dalam ummat sebelumku, kecuali dari ummatnya terdapat orang-orang yang membelanya dan sahabat-sahabat yang melaksanakan sunnahnya dan meneladani perintahnya. Kemudian setelah itu akan datang orang-orang yang mengatakan apa yang tidak mereka lakukan dan melakukan apa yang tidak diperintahkan. Barangsiapa yang berjihad melawan mereka dengan tangannya, maka dia mukmin. Barangsiapa yang berjihad melawan mereka dengan lisannya, maka dia mukmin. Barangsiapa yang berjihad melawan mereka dengan hatinya, maka dia mukmin. Setelah itu tidak ada lagi iman walaupun sebesar biji jagung.
Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud;
“Barang siapa yang tidur dan tidak mengambil tahu ataupun mengambil berat tentang urusan orang-orang Islam, maka dia bukanlah golongan mereka (golongan orang-orang Islam)”.
Kecacatan Perjuangan Tanpa Asas Aqidah Yang Kukuh
Diriwayatkan dari Abu Musa r.a.:
Seorang Badwi bertanya kepada Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) tentang jihad: “Orang yang berjuang atau berperang kerana mahukan harta rampasan, orang yang berperang kerana mahukan supaya namanya disebut, orang yang berperang kerana menunjuk-nunjuk kepada orang, orang yang berperang kerana keberanian semata-mata, orang yang berjuang kerana perkauman, atau kerana kekeluargaan, ataupun kerana fanatic keturunannya, ataupun berperang kerana marah, maka siapakah yang dikatakan berperang fi sabilillah?” Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) menjawab: “Orang yang berperang pada jalan Allah, ialah mereka yang berperang kerana menegakkan kalimah Allah yang Maha Suci.”
(Hadis riwayat Al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)
Dari Amirul Mukminin Umar Ibnu Al-Khattab r.a. katanya:
Aku telah mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya setiap perbuatan itu adalah (bergantung) dengan niat. Dan sesungguhnya setiap apa (yang dilakukan oleh) manusia itu (balasannya atas) apa yang diniatkan. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin dikecapinya, atau kerana seorang perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu kepada apa yang ia berhijrah kerananya.”
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Perjuangan ini hendaklah didasari dengan aqidah. Tanpa aqidah maka perjuangan menjadi batil, sebagaimana orang-orang munafiq yang ikut Rasulullah dalam peperangan, tetapi mereka tiada Aqidah Islamiyyah. Perjuangan sebegini tidak diterima oleh Allah.
Aqidah yang lemah akan menyebabkan kita lemah dalam perjuangan. Kita akan mudah goyah dan juga akan mudah terpesong dengan kehendak-kehendak dunia yang sementara apabila aqidah kita tidak kukuh.
Penutup
Justeru, hendaklah kita sentiasa bermuhasabah diri sejauh manakah kedudukan iman dan aqidah dalam perjuangan kita. Di samping kita beramal secara jama’ie dan amal ijtima’ie, jangan kita lupa untuk mendekatkan diri kepada Allah di malam hari dengan berqiamullail dan memperbanyakkan amalan-amalan sunat. Kita juga perlu menekankan amalan-amalan tazkiyatunnafs (mendidik jiwa), amalan-amalan fardi (individu) supaya kita benar-benar berjuang pada landasan aqidah. Dalamilah ilmu aqidah/ilmu tauhid/ilmu usuluddin/ilmu kalam. Biarlah hubungan kita rapat dengan Allah supaya perjuangan kita tidak terpesong dengan keinginan duniawi. Tidak disekutukan dengan sesuatu dan hanya bermatlamatkan Allah. Jangan kita terlalu asyik mengutamakan ilmu-ilmu haraki dan gerak kerja sedangkan ilmu-ilmu fardhu ‘ain, ilmu feqah, ilmu aqidah kita tidak dalami, dan jangan pula kita asyik dengan amalan-amalan fardi (individu) sehingga melupakan tanggungjawab kita terhadap masyarakat. Marilah kita sama-sama mengikhlaskan diri dalam perjuangan ini hanya untuk Allahu Subhanahu Wa Ta’ala.
Aqidah mestilah diperjuangkan,
Dan perjuangan mestilah berteraskan aqidah.
Wallahu Subhanahu Wa Ta’ala a’lam
Ya Allah, ampunilah segala dosa hamba-Mu ini. Sesungguhnya Engkau Maha menerima taubat hamba-Mu.
Maha Suci Allah, lindungilah dan jauhilah daku daripada segala kemaksiatan dalam menempuhi kehidupan di dunia ini.
Ya Allah tetapkanlah hatiku dalam nikmat iman dan Islam serta tetapkanlah hatiku dalam perjuangan demi menggapai redha-Mu.
Ya Allah tabahkanlah hatiku dalam menghadapi ranjau-ranjau, liku-liku perjuangan ini.
Saturday, July 19, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment