WAJAH UNIVERSITI KITA
Dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w. telah bersabda, mafhumnya: “Sesungguhnya setiap bayi itu dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah) seperti kain putih, maka ibu bapa lah yang mencorakkannya, sama ada Yahudi, Nasrani atau Majusi.”
Hadis ini menunjukkan betapa besarnya peranan dan pengaruh ibu bapa dalam mencorak kehidupan seorang anak. Namun, di sini saya ingin menyentuh watak lain yang juga memainkan peranan penting dalam mencorak kehidupan kita.
Kawan memberikan pengaruh besar dalam hidup kita. Kita seringkali berkongsi banyak persamaan dengan kawan kita. Perkara yang baik mahupun yang buruk. Sabda Nabi s.a.w., mafhumnya: “Agama seseorang itu terletak pada kawannya”. Hadis ini memberi gambaran betapa besarnya pengaruh kawan sehingga dapat mencorakkan apa sahaja perkara pada diri kita.
Mari kita berfikir sejenak pengaruh rakan ini dalam kampus kita. Di universiti kawan-kawan kita terdiri daripada pelbagai usia, sama ada sebaya, muda mahupun lebih tua. Saya ingin membawa sahabat-sahabat pembaca sekalian untuk sama-sama melayari fikiran saya tentang pengaruh rakan ini di kampus kita.
Jika kawan kita merokok, besar kemungkinan kita juga akan terjebak dengan merokok. Jika kawan kita ber’couple’, sebaik mana pun kita, paling kurang kita juga akan teruja atau terdetik untuk ber’couple’. Jika kawan kita minum arak, mungkin kita akan terlibat juga. Wal’iyazabillah. Jika kawan kita suka lepak, kita pun suka lepak. Kalau kawan kita ‘kaki masjid’, kita mesti seorang ‘kaki masjid’ juga. InsyaAllah. Kerana kawan sentiasa akan berkongsi persamaan ataupun menginginkan persamaan daripada seorang kawan.
Tidak lama lagi, kita akan menyambut kedatangan pelajar-pelajar baru ke UPMKB. Jadi, saya ingin bertanya kepada anda semua, bagaimanakah corak yang akan anda lakarkan kepada mereka? Mahu tak mahu, anda tetap terlibat dalam mencorakkannya. Sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Kaki lepak akan dapat pelapisnya, kaki botol akan mencari pelapisnya, kaki pukul akan mula mengumpul ahli baru mereka dan kaki masjid juga akan menambahkan ahli jamaahnya. Suka saya mengingatkan diri saya sendiri dan sahabat-sahabat sekalian bahawa setiap amalan kita ini akan dihitung dan ada pembalasannya di Hari Akhirat kelak. Sekiranya kita memberikan contoh yang buruk kepada adik-adik pelajar baru nanti dan ada yang terpengaruh dengannya, nescaya kita akan mendapat sahamnya. Selagi mana dia mengikut, kawannya pula mengikutnya, maka dosa itu akan ditanggung, dipikul di bahu kita walaupun kita bukanlah ‘mendidik’, ‘mengasuh’ mereka supaya berbuat maksiat. Begitu juga dengan perkara-perkara kebaikan. Pengaruh daripada perbuatan kita itu secara tidak langsung telah memberi tunjuk ajar dan merangsang minda mereka sama ada untuk menuju ke arah kebaikan mahupun kejahatan.
Peranan Fasilitator
Fasilitator merupakan watak utama yang mencorakkan pelajar baru. Merekalah yang bertanggungjawab memberikan gambaran wajah UPMKB sama ada baik atau buruk. Jika mereka berjaya memaparkan sikap yang baik, maka para pelajar baru sedikit sebanyak akan terikut rentak, jejak langkah mereka. Di sinilah para fasilitator Muslim memainkan peranan penting untuk mengajak adik-adik mengimarahkan masjid. Inilah waktu yang terbaik untuk kita mengarahkan mereka solat secaa berjamaah di masjid dan kita cantas segala wabak-wabak, penyakit-penyakit. Kita tangkis, kita cegah segala masalah, keburukan yang mungkin akan belaku di hari mendatang. Pelajar-pelajar baru yang datang ke UPMKB ini sudah pasti mempunyai azam dan semangat yang tinggi. Jadi, sewajarnya kita menunjukkan kepada mereka landasan sebenar yang perlu mereka bawa bersama semangat mereka tersebut. Ketika ini minda mereka mudah didoktrinkan, sama ada yang baik mahupun yang buruk. Oleh itu, di kesempatan yang ada ini, apabila mengendalikan LDK, diharap para fasilitator Muslim mempamerkan sikap-sikap yang mulia, mengawal LDK supaya tidak melanggar batas-batas syara’ seperti batas-batas pergaulan dan sebagainya. Para fasilitator diharap dapat sama-sama menunaikan solat secara berjamaah. Bukannya kita menyuruh sahaja malah kita menjadi ‘role-model’ kepada mereka. Kerana jika kita ingin mentarbiyyah orang lain, kita juga hendaklah bersedia untk ditarbiyyah. Kita mahu pelajar berdisiplin, solat fardhu di masjid, maka kita perlu menunjukkan terlebih dahulu. Perkara-perkara yang baik seperti solat berjamaah perlu dipupuk, dididik, tetapi perkara buruk tidak perlu diajar, kerana manusia ini lebih cenderung kepada keburukan. Ia akan muncul sendiri tanpa diminta. Contohnya, meninggalkan solat, mendedahkan aurat, tidak berdisiplin, bercouple dan sebagainya. Tidak diajar pun, ia akan tumbuh sendiri.
Peranan Para Senior
Amatlah besar harapan saya agar kita semua yang telah menjadi senior ini, memberikan contoh teladan yang baik. Kita perbaiki segala kelemahan yang ada dalam kampus kita. Bukan sahaja kita mengajak mereka menjadi mahasiswa Islam yang baik macam anda semua, bahkan kita mahu mereka menjadi lebih baik daripada kita. Kita tunjukkanlah wajah UPMKB sebagai satu wajah yang cantik, baik. Marilah kita bersama-sama menjalinkan hubungan yang baik dengan adik-adik yang akan datang ini. Kita didik mereka cintakan masjid, dambakan kuliah-kuliah agama, kasihkan amal Islam dan sayangkan gerak kerja dakwah.
Hakikat Corak Yang Sebenar
Pencorak yang sebenar tidak lain dan tidak bukan hanyalah Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T. di dalam Al-Quran, yang bermaksud:
“Acuan Allah, dan siapakah yang lebih baik acuannya daripada Allah. Dan kami mengabdikan diri kepada-Nya”.
Justeru, perbanyakkanlah doa kita agar Dia mengurniakan corak yang baik untuk kita. Acuan atau corak yang benar, corak yang terbaik hanyalah dari Allah. Selagi mana kita berpegang kepada acuan Allah yang tercatat di dalam Kitab Suci Al-Quran dan Sunnah Nabi junjungan, selagi itulah corak atau acuan kita benar dan cantik. Semoga kita dikurniakan kekuatan, mohon ditetapkan hati dan ikhlas untuk melaksanakan kerja-kerja kebajikan ini demi menggapai redha Ilahi
Saturday, July 19, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment