DAKWAH: SATU PEMAHAMAN
Firman Allahu Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud:
"Serulah ke jalan Tuhan-Mu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik."
(Surah An-Nahl : 125)
TUJUAN DAKWAH
1. Dakwah adalah untuk menjadi sebaik-baik ummah selari dengan firman Allah Ta'ala. Maksudnya:
"Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia - kamu menyuruh melakukan yang ma'ruf dan kamu melarang dari mengerjakan yang mungkar."
2. Untuk melahirkan ummah yang mendapat rahmat Allah selari dengan firman Allah Ta'ala. Maksudnya:
"Dan mukmin dan mukminah itu setengahnya pembantu kepada setengah yang lain, mereka menyuruh melakukan yang ma'ruf dan mereka melarang dari mengerjakan yang mungkar, dan mereka mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat serta mematuhi Allah dan Rasul-Nya, mereka lah yang akan mendapat rahmat Allah Ta'ala, sesungguhnya Allah itulah yang Maha Agung lagi Maha Bijaksana."
3. Supaya manusia kembali bertaqwa kepada Allah dan untuk melahirkan ummah yang tersisih dari laknat Allahu Subhanahu Wa Ta'ala sebagaimana Dia telah melaknatkan Bani Israel bukan sahaja kerana mereka mengerjakan kemungkaran malah kerana mereka tidak mencegah kemungkaran. Ia juga membebaskan diri dari azab di Hari Akhirat kerana telah menyampaikan tanggungjawab dakwah. Sebagaimana firman Allah. Maksudnya:
"Terlaknatlah orang-orang kafir dari golongan Bani Israel melalui lisan Nabi Allah Daud dan Isa bin Maryam, itu adalah disebabkan oleh derhaka mereka (terhadap Allah Ta'ala) dan mereka melampau, mereka tidak mencegah kemungkaran di kalangan mereka - itulah seburuk-buruk amalan mereka."
Dalam ayat lain Allahu Subhanahu Wa Ta'ala berfirman yang bermaksud:
Mereka menjawab: (kami nasihati mereka itu) untuk meminta uzur/pelepasan dari azab (setelah menunaikan tanggungjawab dakwah) kepada Tuhan-Mu dan mudah-mudahan mereka itu bertakwa.. Tatkala mereka melupakan apa-apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang kejahatan dan Kami seksa orang-orang yang aniaya dengan 'azab yang keras, disebabkan mereka fasiq.
4. Untuk mengekalkan kestabilan ummah selari dengan sabda Junjungan s.a.w. maksudnya:
"Bandingan orang yang mencegah kemungkaran dan orang yang melakukannya - samalah dengan bandingan suatu kaum yang sama-sama mempunyai saham ke atas sebuah kapal, bila diundi segolongan dari mereka mendapat bahagiannya di sebelah atas sementara yang lain pula mendapat di sebelah bawah. Mereka yang menerima nasibnya di sebelah bawah itu, apabila berkehendakkan air terpaksa melalui mereka yang di sebelah atas, maka mereka berkata: 'Kalau kita pecahkan kapal ini di bahagian bawahnya tentu kita tidak menyusahkan mereka yang disebelah atas." Jika mereka yang di sebelah atas membiarkan kemahuan orang-orang di bawah memecahkan kapal itu (di bahagian bawah nya) nescaya kesemua mereka akan hancur tenggelam tapi jikalau mereka mencegah nya, kesemua mereka terselamat."
*Nabi s.a.w. mengumpamakan pemecahan kapal itu sebagai satu kemungkaran.
5. Membentuk peribadi, rumah tangga, masyarakat dan negara Islam. Kemudian akhirnya menegakkan khilafah Islamiyyah.
SEBAB DAKWAH
1.1 Dalil Naqli
1.1 Tujuan hidup manusia
Allahu Subhanahu Wa Ta'ala menuntut manusia dan jin supaya meletakkan ubudiyyah hanya kepada-Nya tanpa ada unsur syirik kepada-Nya. Allahu Subhanahu Wa Ta'ala tidak meninggalkan tuntutan tersebut begitu sahaja tetapi Allahu Subhanahu Wa Ta'ala mengutuskan kepada manusia para rasul untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang berupa suruhan dan larangan untuk disampaikan kepada manusia.
Di antara tugas tersebut ialah menunjukkan akal manusia kepada mengenal Allahu Subhanahu Wa Ta'ala samada zat, sifat dan nama, mengajar manusia perkara-perkara ghaib, menjelaskan perkara-perkara halal dan haram guna untuk kesempurnaan hidup, menjelaskan konsep ukhuwwah di dalam kehidupan dan mendidik diri serta akhlak yang baik.
Tugas tersebut dijelaskan dengan firman Allah Taala di dalam Surah Az-Zaariyat ayat 56-57, maksudnya:
"Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku".
1.2 Tuntutan berta'aruf
Sesungguhnya Allahu Subhanahu Wa Ta'ala menghendaki manusia agar berta'aruf (berkenal-kenalan) di antara satu sama lain untuk melengkapkan konsep kemasyarakatan dalam bentuk yang lebih berfaedah dan bermakna, iaitu konsep faham memahami, tolong menolong, ziarah menziarahi yang akan membangkitkan suasana harmonis di dalam kelompok masyarakat.
Firman Allah Taala yang bermaksud:
"Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu pelbagai bangsa dan puak supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya, yang lebih mulia antara kamu di sisi Allah ialah yang lebih taqwanya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui."
(Surah Al Hujrat : 13)
1.3 Tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi
Allahu Subhanahu Wa Ta'ala telah melantik manusia sebagai khalifah di muka bumi ini. Justeru terbeban kepada mereka tanggungjawab dan kewajipan mengimarahkan bumi dan seisinya dengan melaksanakan garis panduan yang ditetapkan oleh Allahu Subhanahu Wa Ta'ala yang berupa syariat dan perundangan Islam.
Firman Allah Taala yang bermaksud:
"Allah telah menjanjikan bagi orang-orang yang beriman di antara kamu dan beramal soleh, bahawa Allah akan mengangkat mereka sebagai khalifah di muka bumi, sebagaimana orang-orang terdahulu telah menjadi khalifah; dan Allah akan menetapkan agama mereka (Islam) yang diredhai-Nya untuk mereka, dan akan menggantikan ketakutan dengan keamanan. Mereka menyembah Aku dan tidak mempersekutukan Aku dengan sesuatu jua pun. Barangsiapa yang kafir sesudah itu, mereka itulah orang-orang yang fasiq."
(Surah An Nur : 55)
"(Telah Kami utus) kepada Kaum Tsamud seorang saudaranya, Salih ('alaihissalam). Ia berkata: Wahai kaumku, sembahlah Allah, tiada bagimu Tuhan melainkannya. Dia menjadikan kamu dari bumi, serta memakmurkannya, serta memakmurkanmu, sebabitu minta ampunlah kamu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Dekat, lagi memperkenankan (permintaan)."
(Surah Hud : 61)
"(Ingatlah) ketika Tuhan-Mu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya aku akan menjadikan seorang khalifah di atas muka bumi (Adam 'alaihissalam)..."
(Surah Al-Baqarah : 30)
Nas di atas menerangkan :
a) Allahu Subhanahu Wa Ta'ala telah menjanjikan kepada orang mukmin untuk menjadikan mereka 'khalifah' di muka bumi sebagaimana sebelumnya Allah telah melantik orang-orang mukmin dan mereka yang beramal soleh.
b) Allahu Subhanahu Wa Ta'ala menegaskan akan menegakkan bagi mereka agama yang diredhai oleh-Nya.
c) Tuntutan mengimarahkan muka bumi.
2. Dalil 'Aqli berdasarkan kefahaman
Kefahaman yang sahih terhadap akidah dan agama adalah bertitik tolak atau terbit daripada Kitabullah dan Sunnah Rasulullah s.a.w, merangkumi skop yang menyeluruh daripada keduanya samada dari sudut ilmu, penafsiran dan penjelasan daripada keduanya.
Kefahaman yang jelas terhadap akidah dan agama ini berdiri di atas asas dan rukun yang melingkari individu muslim tersebut sejak zaman berzaman. Asas dan rukun tersebut adalah :
a) Sesungguhnya umat Islam keseluruhannya adalah umat yang satu dalam konteks akidah, ibadah, muamalah dan akhlak. Kesatuan yang terbina ini merentasi sempadan daerah dan tempat, warna kulit dan bangsa, budaya dan bahasa. Di atas faktor yang berlaku konsep dakwah perlu dimainkan kembali untuk mengikat kesatuan yang sedia ada.
b) Fenomena yang melingkari umat Islam dengan perspektif kehidupan yang berbeza dari aspek pemerintah, kemasyarakatan, keintelektualan, dan sosio ekonomi dalam konteks bernegara menyebabkan mereka terhalang untuk meletakkan syariat Islam sebagai perundangan yang tertinggi. Ini mengakibatkan berlakunya pelbagai masalah dan kezaliman lantaran mereka jauh daripada perundangan yang sebenar. Kesannya gejala kerosakan dan kebejadan semakin bertambah, begitu juga perpecahan dan kemunduran.
c) Sesungguhnya umat Islam dituntut untuk beramal mengikut kemampuan yang ada dengan berpandu arah oleh Al Quran dan Sunnah. Justeru itu ia menuntut untuk merubah suasana yang tidak baik yang berlaku di dalam kehidupan masyarakat sekitarnya dengan uslub yang dibenarkan oleh Islam.
USLUB DAKWAH
Sebenarnya tajuk uslub dakwah ini amatlah besar dan tidak mampu saya terangkan panjang lebar dalam risalah kerdil ini. Oleh itu, saya hanya meletakkan butiran-butiran penting sahaja. Untuk huraian yang panjang lebar sila rujuk buku "ISLAM: Fikrah, Harakah dan Daulah; Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang"
Uslub bermaksud gaya. Uslub dakwah ialah gaya atau strategi dakwah. Sumber-sumber uslub dakwah ialah Al-Quran dan As-Sunnah, sirah salafusshalih dan pengalaman yang berguna bagi mematangkan dakwah.
Uslub dakwah yang berkesan:
Para da'ie hendaklah sentiasa berhati-hati dan bersedia dengan persiapan yang secukupnya bagi menghadapi mad'u dan juga penentang-penentang dakwah Islamiyyah. Pelajaran uslub dakwah adalah penting kerana orang-orang kafir juga mempunyai uslub mereka sendiri untuk menentang dakwah ini. Hal ini didedahkan oleh Al-Quran. Antaranya:
1. Mereka menyerang tajuk dakwah yakni menyerang ajaran Islam secara langsung.
2. Menyerang da'ie melalui lisan dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan seperti bodoh, gila, jahat, pemecah-belah, sesat dan sebagainya.
3. Serangan secara fizikal.
Dua elemen dakwah yang berkesan ialah:
1. Peribadi pendakwah
a) Memahami agama
b) Menjadi tauladan yang baik
c) Sabar
d) Berlemah lembut
e) Bersifat memudahkan (cara dakwah yang dapat menyebabkan orang tertarik dengan Islam) bukannya menyusahkan
f) Merendah diri
g) Beramah mesra
h) Pemurah
i) Menghulurkan pertolongan
2. Penyebaran dakwah kepada umum
a) Sasaran yang tepat. Tajuk dakwah hendaklah sesuai dengan 'penyakit' semasa yang dihidapi masyarakat dan gaya bahasa yang sesuai dengan tahap pemikiran golongan sasar.
b) Mengemukakan masalah dasar. Memberikan penekanan kepada masalah pokok yang perlu diutamakan dan didahulukan daripada perkara lain supaya dengan mencantas punca masalah yang sebenar akan dapat menyelesaikan pelbagai masalah utama di samping menghilangkan cabang dengan berkesan.
c) Berdakwah dengan kebijaksanaan dan lebih baik.
WASILAH-WASILAH DAKWAH
Wasilah dakwah dalam erti kata yang mudah ialah medium yang digunapakai untuk merealisasikan matlamat dakwah sama ada melalui perkataan (termasuk tulisan), perbuatan dan juga qudwah hasanah (contoh teladan, akhlak yang baik).
Uslub dakwah ialah strategi dakwah manakala wasilah dakwah ialah kaedah perlaksanaan strategi dakwah.
MARHALAH-MARHALAH DAKWAH
Setiap dakwah mestilah melalui tiga marhalah:
1. Marhalah ad-Di'ayah (Ta'rif): Marhalah propaganda, memperkenalkan, menggambarkan fikrah dan menyampaikan kepada orang ramai di setiap lapisan masyarakat.
2. Marhalah Takwin: Marhalah pembentukan, memilih para pendokong, menyiapkan angkatan tentera, pendakwah dan jihad erta mendidik mereka. Mereka dipilih dari golongan yang telah menyambut seruan dakwah.
3. Marhalah Tanfiz: Marhalah pelaksanaan, beramal, berusaha untuk mencapai tujuan.
Saturday, July 19, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment