Saturday, July 19, 2008

SEKULARKAH ANDA ?????

SEKULARKAH ANDA???

DEFINISI:

Terdapat pelbagai definisi bagi istilah "sekularisme" sama ada dari kalangan ulama', intelektual Islam mahupun bukan Islam. Namun secara ringkasnya dapat disimpulkan bahawa sekularisme adalah satu fahaman yang mengasingkan agama (yang bersifat ritual atau kerohanian) daripada kehidupan. Satu fahaman yang bersifat kebendaan (materialisme). Ia adalah jahiliyyah moden atau berhala moden yang bertentangan dengan Aqidah Islamiyyah! Tidak perlu untuk kita perdebatkan dari sudut bahasa walaupun saya tidak menafikan kepentingan tafsiran dari sudut bahasa dan istilah. Tetapi, ia umpama kedai kopi. Walaupun kedai tersebut sudah kehabisan kopi untuk dibuat minuman jualan atau tidak menjual kopi sama sekali, tetapi ia tetap digelar "kedai kopi" kerana istilah "kedai kopi" digunapakai untuk kedai, restoran, gerai atau warung yang menjual makanan dan minuman.

Jadi, saya simpulkan di sini bahawa walau apapun definisi yang dikemukakan berkenaan sekularisme, ia tidak lari daripada tanggapan atau ideologi bahawa agama itu adalah hak peribadi, negara tidak berhak masuk campur.

SEJARAH: SEPINTAS LALU

Secara ringkasnya, fahaman ini berasal dari Eropah di mana ia muncul akibat tindakan pihak Gereja pada Zaman Gelap Eropah yang berlaku tidak adil kepada rakyat. Penindasan dan penyelewengan berlaku dengan hebat. Malah, pihak Gereja yang mentadbir dunia Eropah pada masa itu bersifat jumud dan menentang keilmuan dalam bidang sains yang berkembang pesat hingga ke dunia Eropah dari Empayar Khilafah Islamiyyah. Sehinggakan gerakan menentang gereja muncul untuk mendapatkan kehidupan yang lebih adil. Rentetan daripada itu, tercetuslah Renaissance, yang membawa keluar masyarakat Eropah dari kekangan pihak Gereja melalui fahaman sekularisme iaitu pemisahan gereja dengan pemerintahan. Kemudian, ia mula berkembang sehingga menular ke dalam dunia umat Islam. Hal ini berleluasa ketika terjadinya Perang Dunia Pertama dan selepas kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyyah hinggalah ke hari ini. Di bawah fahaman ini, lahirlah beberapa ideologi-ideologi lain seperti komunisme, kapitalisme, liberalisme, nasionalisme, sosialisme dan sebagainya.

SEKULARISASI

Semenjak penjajah barat meletakkan kaki mereka ke bumi umat Islam, mereka berusaha sedaya-upaya untuk menyebarkan fahaman sekularisme ini melalui pelbagai cara. Cara-cara penyebaran fahaman sekularisme ini dilaksanakan melalui bidang pendidikan, media massa dan undang-undang. Tujuannya hanyalah untuk menjauhkan umat Islam dari agamanya.

Penyebaran Sekularisme Melalui Pendidikan

Antaranya ialah:

1. Menyekat pengajian agama Islam secara material dan moral.

i. Sekatan secara material dilakukan dengan membuka pintu seluas mungkin kepada pengajian yang kosong dari ruh agama Islam (pengajian yang jauh dari penekanan agama). Pengajian sebegini akan dibantu dan dibangunkan serta diberi kemudahan dari segi material. Adapun pengajian agama Islam disempitkan bantuan kewangan ataupun tidak dibantu lansung. Sebarang bantuan lebih dicurahkan kepada pengajian sekularisme.

ii. Sekatan secara moral ialah dengan memperlekehkan golongan penuntut agama dan tuan-tuan guru mereka. Membeza-bezakan antara guru-guru agama dan guru-guru subjek lain dalam setiap keadaan memang satu perkara yang disengajakan. Begitu juga membeza-bezakan antara lepasan bidang agama dan lepasan bidang-bidang lain. Dari segi jawatan pula, lepasan bidang agama tidak banyak mendapat peluang disamping ganjaran dan status yang dipandang rendah tetapi bagi lepasan bidang-bidang lain agak mudah mendapat peluang dengan habuan dan status yang lumayan. Mereka ini akan tenggelam dalam "ketidaksedaran" dan akan menyebabkan orang ramai tidak kira tua muda akan lari dari agama dengan terpahat satu sikap dalam minda mereka iaitu "jika kita memilih bidang agama ianya tidak akan ke mana dan tidak akan menjamin hidup", maka dengan itu mereka lebih cenderung kepada pengajian bidang bukan agama.

Bukanlah bermaksud di sini umat Islam tidak boleh mempelajari ilmu-ilmu selain dari ilmu Islam. Malah sebenarnya tidak ada istilah ilmu "bukan Islam", seperti kedoktoran, kejuruteraan dan sebagainya. Ia juga merupakan ilmu Islam. Yang menjadi persoalannya ialah umat Islam telah diabaikan dari segi penekanan ilmu agama yang sepatutnya menjadi teras kepada mereka. Tidak salah seorang Muslim itu menjadi doktor, tetapi biarlah dia menjadi doktor yang ada asas didikan Islam. Juga tidak salah seorang Muslim itu menjadi jurutera, tetapi biarlah menjadi jurutera yang ada asas didikan Islam.

2. Menghantar pelajar Islam ke negara-negara bukan Islam untuk belajar. Misi penghantaran ini akan membuahkan hasilnya yang memang dinanti-nantikan iaitu pelajar itu bertambah jahil dengan agama, nilai serta adat yang baik dan akan menyebabkan pelajar itu tertarik dengan budaya barat. Di samping itu, akan tertanam dalam diri pelajar itu tabiat (kelakuan) yang menyeleweng dari ajaran Islam. Dengan berlalunya masa, tabiat menyeleweng ini akan menjadi sebati dengan diri pelajar itu dan dia akan mempraktikkannya dalam kehidupannya sehinggakan dalam bab makan minum, pakaian, cara pergaulan dan lain-lain tabiat yang buruk. Dia akan menjadi lebih barat daripada orang-orang barat sendiri.

3. Melonggarkan sukatan pengajian agama atas nama kemajuan akademik. Residen Britain di Mesir Lord Krumer semasa penjajahan Britain ke atas Mesir telah melaung-laungkan slogan pembaharuan dalam Universiti al-Azhar dengan memasukkan subjek sivil dalam sukatan pengajiannya. Percampuran ini menyebabkan pelajar lemah dalam menguasai ilmu agama. Beberapa sukatan pelajaran juga telah dibuang atau dikurangkan seperti subjek yang berkaitan jihad menyebabkan ruh jihad telah hilang dalam diri pelajar Islam. Pelonggaran sukatan pengajian agama berlaku di seluruh negara Islam dengan tujuan untuk melemahkan pelajar-pelajar Islam.

4. Bercambahnya institusi pengajian asing di negara Islam bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Tujuannya ialah untuk mengeluarkan umat Islam dari agama mereka atau sekurang-kurangnya menyelewengkan aqidah mereka. Paling kurang kesannya ialah menghina bahasa Arab (bahasa umat Islam) dan mengagungkan bahasa asing. Penghinaan bahasa Arab sebenarnya menghinakan agama Islam itu sendiri. Ini berlaku di negara-negara Arab.

5. Paling bahaya cara yang digunakan ialah percampuran lelaki dan perempuan ketika pengajian. Mereka (golongan sekular) memulakannya di negara-negara Islam dengan mendakwa ianya kemajuan dan kemodenan tetapi ia sebenarnya menyalakan lagi obor nafsu manusia. Mereka juga mendakwa percampuran itu dapat mematangkan pemikiran tetapi mereka telah tersilap kerana ia antara punca tercetusnya masalah sosial yang kronik akibat percampuran yang tidak dikawal. Ilmu sains membuktikan percampuran sebegini akan membawa kepada 2 keadaan:

i. Samada ia akan membekukan nafsu seks antara 2 jantina, dengan erti kata lain, lelaki tidak lagi bernafsu kepada wanita secara tabii tetapi lebih bernafsu kepada kaum sejenis (satu perbuatan yang dikutuk oleh Allah S.W.T). Penyakit ini semakin menular di negara-negara barat dan juga Amerika Syarikat.


ii. Ataupun ia akan meransangkan lagi api nafsu. Satu eksperimen telah dijalankan dengan meletakkan anak kucing dan anak tikus yang masih kecil dalam satu sangkar. Kedua-duanya makan dan minum dari satu bekas yang sama sehinggalah sampai masa "keinginan", anak kucing itu telah membunuh anak tikus dan memakannnya walapun kedua-duanya hidup dalam satu sangkar serta makan dan minum dari bekas yang sama. Anak kucing itu tidak lagi menaruh sifat kasihan walaupun agak lama "berdamping" dengan anak tikus itu. Begitulah diibaratkan dengan percampuran pelajar dengan sebebas-bebasnya tanpa kawalan, lama kelamaan akan membawa ke arah masalah sosial. Realiti yang berlaku di negara-negara Islam adalah bukti yang nyata betapa teruknya masalah sosial yang berlaku.

Penyebaran Sekularisme Melalui Media Massa

Jikalau sekularisasi dalam pengajian hanya melibatkan ribuan pelajar, tetapi sekularisasi dalam media massa meliputi jutaan orang yang menonton, mendengar dan membacanya melalui program-program yang disediakan. Setiap perkataan atau tulisan yang baik akan menghasilkan natijah yang baik dengan izin Allah. Manakala perkataan atau tulisan yang jahat pula akan menghasilkan natijah yang jahat juga. Oleh itu media massa boleh berperanan untuk mengangkat martabat, peribadi, maruah dan minda seseorang atau ia juga boleh berperanan untuk menjatuhkan martabat, peribadi, maruah dan minda seseorang.

Realiti yang dapat dilihat melalui televisyen, radio, wayang gambar, teater, akhbar, majalah dan lain-lain media massa tidak banyak yang membantu perkembangan nilai-nilai murni. Ia juga tidak membantu perkembangan minda dan pengamalan dengan akhlak Islam. Jikalau adapun, ia hanya seperti tangkap muat dan pemanis mulut, tidak lebih dari itu. Rancangan-rancangan televisyen yang menyiarkan gambar separuh bogel atau "tidak sempat memakai baju dan seluar" banyak disiarkan untuk meruntuhkan akhlak umat Islam terutamanya golongan muda-mudi. Sepatutnya media massa itu menjadi "mimbar dakwah" yang menyeru kepada kebaikan dan menyampaikan kebenaran, bukannya suara maksiat, medan fitnah dan kilang kerosakan sosial masyarakat. Itulah kerja sekularisme yang berusaha menjauhkan umat Islam dari agamanya.

Penyebaran Sekularisme Melalui Undang-Undang

Golongan sekular berusaha bersungguh-sungguh untuk menjauhkan Islam dari "kuasa" pemerintahan. Mereka akan memastikan agar undang-undang Islam tidak dirujuk walau dalam apahal sekalipun sehinggakan Islam kelihatan tinggal rangkanya sahaja. Ia terjadi di kebanyakan negara Islam. Di Turki contohnya, untuk menjauhkan manusia dari Islam, mereka berusaha mensekularkan undang-undang sedikit demi sedikit hingga akhirnya undang-undang Turki menjadi sekular dan terlerainya undang-undang khilafah Islam. Di Mesir "sekularisasi" undang-undang dilakukan ketika penjajahan Inggeris dengan mewajibkan merujuk kepada undang-undang barat secara umumnya dan undang-undang Perancis secara khususnya.

Undang-undang Islam yang tinggal hanyalah berkaitan nikah kawin (Ahwal Al-Syakhsiah) atau yang berkait dengan adat kerana ia tidak menggugat kedudukan penjajah. Umat Islam boleh mengamalkan undang-undang ini di kalangan mereka tetapi untuk mengamalkan undang-undang yang bersangkut paut dengan pemerintahan negara, jenayah dan lain-lain tidak diizinkan oleh penjajah. Ini adalah perancangan jahat golongan sekular. Mana-mana negara Islam yang ingin melaksanakan undang-undang Islam secara menyeluruh pasti akan menerima tekanan hebat dari pihak barat atau dari golongan sekular dalam negara itu sendiri.

Ini adalah sebahagian perancangan yang dilakukan oleh golongan sekular untuk memesongkan umat Islam dari beramal dengan agamanya mengikut jalan yang betul. Sesiapa yang hatinya kosong dari ruh agama pasti menganggap sekular itu adalah kemajuan dan kemodenan tetapi dia tidak sedar bahawa ketika dia menerima dan mendokong sekularisme, dia telah merenggangkan ikatan tali dirinya dengan Islam yang dianutinya. Umat Islam perlulah sedar perancangan-perancangan golongan sekular ini agar mereka tidak terjatuh ke dalam perangkap yang akan merugikan mereka di dunia dan akhirat.

Islam dan sekularisme tidak akan dapat disatu dan disebatikan kerana kedua-duanya adalah berbeza. Al-Marhum Syeikh Mutawalli Sya'rawi sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir sempat berkata:

"Sedarlah bahawa tidak akan berlaku pertembungan antara hak dengan hak tetapi pertembungan hanya berlaku antara hak dan yang batil".

Maka umat Islam perlulah mengikut yang hak (kebenaran) dengan menurut segala perintah Allah s.w.t dan meninggalkan segala larangan-Nya. Untuk mengetahui yang hak dan yang batil menurut pandangan syarak, maka tugas itu biarlah dilakukan oleh ulama-ulama yang pakar lagi ikhlas. Tidak ada jalan selamat di akhirat melainkan menerima seratus peratus ajaran Islam yang sebenarnya mengikut al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

SIAPAKAH PENDOKONG DAN PENYOKONG SEKULARISME?

Pendokong sekularisme ialah orang-orang kafir yang bermatlamatkan untuk menghancurkan agama Allah. Merekalah Yahudi, Kristian dan tentera-tentera musyrikin yang lain.

Manakala penyokongnya, dapat diklasifikasikan kepada dua bahagian iaitu;

1. Penyokong secara langsung,
2. Penyokong secara tidak langsung.

Penyokong-penyokong sekularisme secara langsung ialah Kaum Muslimin yang jahil dan orang-orang Munafiqun. Mereka mengangkat pemimpin-pemimpin di kalangan mereka yang juga jahil dalam agama. Mereka suka untuk berada di bawah naungan orang kafir. Berpandukan tamadun Barat dan mengenepikan perlaksanaan seluruh isi kandungan Al-Quran dan As-Sunnah. Mereka hanya mengamalkan Islam hanya pada aspek ritual (kerohanian) dan mengabaikan perlaksanaan dalam aspek kehidupan yang lain sama ada ekonomi, sosial, politik dan sebagainya. Mereka menolak dan menentang golongan-golongan yang berusaha untuk memartabatkan hokum Allah S.W.T. Mereka inilah penganut sekular dan mempertahankan ideologi sekular. Fahaman sekular berlawanan dengan perintah Allah, yang mana menyeru umat manusia memasuki Islam secara menyeluruh. Bukannya mengamalkan Islam secara juz'iyyah. Jadi, kita perlu berhati-hati untuk memelihara diri dari batas-batas kufur antara Islam dan sekular.

Yang lebih teruknya, dalam masyarakat kita biasa terdengar ungkapan "Apa kau sibuk-sibuk, mati nanti kubur lain-lain!" Memang ia ungkapan yang bersifat kurang ajar apabila dakwah disampaikan. Tetapi boleh sahaja kita balas,"Memang kubur lain-lain, tapi kalau kubur kau tepi kubur aku, aku tak sanggup dengar kau menjerit kena seksa setiap hari." Inilah mereka yang dikatakan penyokong sekularisme.

Ungkapan "jangan jaga tepi kain orang" tidak pernah wujud dalam Islam. Ia adalah ungkapan Melayu yang bertentangan dengan prinsip umum Islam.

Kerana Islam adalah agama nasihat. Islam itu agama yang menyeru kebaikan dan agama yang mencegah kemungkaran. Setiap perbuatan mungkar perlu dicegah sehingga ke akar umbi. Apa yang tidak boleh adalah mencari-cari kesalahan orang lain. Tetapi kalau sudah nampak maksiat di depan mata akan berlaku atau sedang berlaku seperti berdua-duaan dengan bukan mahram, mendedah aurat dan 1001 maksiat lainnya maka ia wajib ditegur. Siapa yang mampu dengan kekuatan dan kuasa dan siapa yang lemah imannya adalah benci dalam hati.

Islam mengiktiraf hak asasi manusia. Tetapi hak asasi itu perlu mengikut landasan Al-Quran dan Al-Sunnah. Malah, dalam Islam sekiranya berlaku kezaliman orang Islam terhadap golongan bukan Islam yang mengakui ketuanan Islam, maka orang Islam akan dihukum dan Nabi Muhammad saw akan menuntutnya bagi pihak mereka di akhirat kelak.

Perjuangan sesetengah manusia yang memperjuangkan "kebebasan hak asasi manusia" adalah satu kesesatan. Kerana ini adalah gerakan Yahudi yang ingin memusnahkan semua fahaman agama di dunia seterusnya menguasai dunia ini secara senyap. Manusia tidak dapat tidak, secara fitrahnya memerlukan batas-batas undang-undang demi kehidupan yang sejahtera. Dan sebaik-baik "sibghah" (acuan) ialah acuan Allah S.W.T.

Adapun golongan yang menyokong sekularisme secara tidak langsung ialah Kaum Muslimin yang gagal! Mereka mengamalkan Islam bukan sepenuh masa. Mereka tidak menyokong secara langsung sekularisme, malah mereka terang-terangan menolak golongan yang mendokong sekularisme dan bersama dengan perjuangan memartabatkan Islam. Namun, mereka lemah, lalai dan tidak mampu mengawal nafsu. Kadang-kadang mereka mengamalkan Islam, kadang-kadang mereka leka. Kadang-kadang selepas solat berjemaah di masjid, mereka "mencuci mata" di tengah jalan pulang. Terpesona dengan dunia.

ANDA ADALAH SEKULARIS!!! SEANDAINYA…

Begitulah juga dengan kita. Seandainya kita gagal. Tidak mampu berdepan dengan suasana. Dalam program kerohanian, kitalah yang pandai berhujah, tetapi di luar suasana tersebut kita gagal mengawal diri kita. Dalam program-program dakwah kita kelihatan wara', namun ketika bersendirian, kopiah kita melayang. Waktu lapang kita habiskan dengan menonton televisyen, "movie", membaca komik, bermain "games", 'berjihad' (bersungguh-sungguh) dalam permainan bola sepak sampai masuk waktu Maghrib dan pelbagai lagi aktiviti-aktiviti yang tidak berguna pun untuk Islam. Langsung tidak menambahkan Iman bahkan boleh menguranginya. Saya tidak bermaksud berhibur atau bersukan itu haram, tetapi jangan melampau. Jangan kita menghabiskan banyak masa kita untuk perkara-perkara tersebut. Hingga membawa kelalaian.

Kita terpengaruh dengan mad'u-mad'u kita yang sedang melakukan perkara yang sia-sia. Kita yang sepatutnya mencegah, tetapi turut serta dengan mereka. Da'wah bilhikmah dengan mendampingi mad'u bukannya mendampingi kemungkaran!

Di kampus, kitalah yang banyak membantu kerja-kerja dakwah. Kitalah "kaki masjid", "budak masjid". Tetapi, ketika berada di rumah di musim cuti semester, kita menyendiri di rumah. Masjid dan surau tidak kita 'imarahkan. Kita mempunyai dua indentiti yang berbeza. Serba boleh. Yang "lagho" kita buat, yang baik pun kita buat. Secara tidak langsung, kita telah mengasingkan agama dengan kehidupan dan menyokong sekularisme. Kitalah sekularis!!! Seandainya kita bersikap demikian…

No comments: